Sunday, 20 May 2018

Perdana Menteri Setuju Pasukan Khas Siasatan 1MDB Ditubuhkan


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melalui satu kenyataan media telah telah bersetuju untuk membentuk satu Pasukan Khas Siasatan  bagi menyiasat segala salah saku yang melibatkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pasukan Khas siasatan ini akan menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Menurut surat berkenaan, pasukan khas berkenaan akan diketuai bersama oleh YBhg Tan Sri Gani Patail (mantan Peguam Negara), YBhg Tan Sri Hj Abu Kassim Mohamed (mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM), Dato Sri Hj Mohd Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Dato' Abdul Hamid bin Bador.

"Keanggotaan Pasukan ini akan terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan," katanya.

Menurut beliau lagi, pasukan khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

"Pasukan Khas ini juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan."

"Kerajaan berharap penubuhan Pasukan Khas ini dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat akan berupaya mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB," tulis kenyataan itu lagi. - Siakapkeli.my

0 comments

Post a Comment