Thursday, 17 May 2018

Minum Air Sejuk Didakwa Boleh Menyebabkan Gemuk Kerana Lemak Bergumpal? Jangan Percaya Mitos Ini


Minuman sejuk atau berais memang menjadi pilihan masyarakat negara ini tidak kira usia. Sama ada pada waktu panas terik atau tidak. Tambah lagi di bulan puasa, air ais memang jadi pilihan waktu berbuka. Betul tak?

Namun, ada juga yang mengatakan amalan minum minuman sejuk boleh menyebabkan seseorang individu itu mengalami kegemukan kerana lemak yang bergumpal. Lemak itu akan menjadi beku dan menyumbat saluran darah dalam badan. 

Ternyata, perkara ini hanya mitos sahaja. Untuk penjelasan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian seperti di bawah ini. Semoga memberi manfaat buat semua.

Ramai dikalangan masyarakat dan orang lama cakap yang air batu, ais batu ataupun air sejuk boleh menyebabkan seseorang itu menjadi gemuk, obese ataupun berlebihan berat badan.

“Eh. Kau tak tahu ke, Air sejuk menggemukkan? Cuba tengok video ini?” Kata orang kita.


Perkara ini menjadi tular ke seluruh masyarakat kerana mereka mempercayai satu video dimana apabila lemak dimasukkan ke dalam air sejuk ia bergumpal menjadi satu gumpalan. Maka gumpalan inilah yang akan menjadi lemak dalam badan kata mereka.

Apakah yang terjadi bila air sejuk/ais batu diminum?



Apabila seseorang itu menelan ais batu ataupun meminum air sejuk, ia akan terkumpul di dalam perut. Ais tersebut akan mencair menjadi air dan badan secara automatiknya meningkatkan suhu air dalam perut untuk sama seperti suhu badan.

Ia adalah satu mekanisma yang memang berlaku secara automatik kerana badan perlu berfungsi pada suhu yang spesifik. Badan tidak boleh terlalu sejuk walaupun di dalam perut sahaja kerana ia akan mengganggu fungsi sel bertindak. Oleh itu, suhu air dalam perut akan dinaikkan sama seperti suhu badan. Pada ketika itu, lemak tersebut dah tak sempat nak bergumpal.

Bagaimana pula penyerapan lemak?

Secara ringkasnya lemak perlu diuraikan terlebih dahulu menjadi asid lemak dan juga glycerol. Pada ketika ini, barulah lemak boleh diserap daripada usus untuk dibawa ke seluruh badan juga disimpan di dalam sel adipos.(Sel adipos berfungsi untuk menyimpan lemak)

Oleh kerana itu, perlu kita faham bahawa jika lemak tersebut bergumpal, ia akan menyebabkan luas permukaan untuk enzim bertindak pada lemak itu semakin berkurangan.

Ini menyebabkan penguraian lemak tidak dapat berlaku dengan sempurna dan serapan lemak menjadi tidak efisien.

Jadi kalau nak kata minum air sejuk menyebabkan lemak bergumpal dan akhirnya membawa kepada kegemukkan adalah suatu yang tidak tepat. Sebab lemak tu sendiri akan susah untuk diserap jika ia bergumpal.

Apakah yang menyebabkan kegemukan?


Gemuk, obese ataupun berlebihan berat badan berlaku apabila jumlah kalori yang kita ambil adalah lebih daripada jumlah yang kita pakai. Jadi kalori yang berlebihan itu akan ditukarkan kepada lemak.

Oleh itu, makanan yang tinggi gula dan juga lemak boleh meningkatkan pengambilan kalori dan akhirnya membawa kegemukkan jika kita tidak mengawalnya.
Kesimpulan

Ais batu atau air sejuk tidak menyebabkan kegemukan. Yang menyebabkan kegemukan adalah cara permakanan yang tidak sihat.

Siakapkeli.my

Sumber : e-Diagnosa

0 comments

Post a Comment