Tuesday, 22 May 2018

''First Lady From Hell'' Dan Suami Diktator, Imelda Dan Ferdinand Marcos Didakwa 'Makan' Duit Rakyat Filipina Lebih USD 10 Bilion


Diberi jolokkan sebagai ''Iron Butterfly'', Imelda Marcos yang merupakan isteri kepada diktator Filipina, Ferdinand Marcos pernah berkuasa selama 20 tahun. Namun dua individu yang tak mungkin akan dilupakan oleh seluruh bangsa Filipino ini lebih terkenal dengan korupsi, kekayaan luar biasa dan gaya hidup mewah yang melampau berbanding sumbangan mereka terhadap negara itu ketika pemerintahannya.

''Jika kamu tahu nilai kekayaan kamu, bermakna kamu masih belum kaya. Tetapi kami, kami langsung tidak tahu nilai kekayaan kami. Itulah gambaran kekayaan kami,'' begitulah ucapan Imelda yang dipetik daripada The Philippine Daily Inquirer yang diterbitkan pada Mac 1998.

Sebut sahaja perhiasaan dunia yang ada, Imelda pasti pernah memilikinya. Ketika rakyat Filipina bangkit untuk menggulingkan pemerintahan suaminya, pasangan ini segera melarikan diri dan mendarat di Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat di Hichkam, Hawaii dengan dua pesawat pengangkut C-141.


Apa yang mengejutkan, ketika pemeriksaan yang dibuat oleh tentera di atas kedua-dua pesawat tersebut, mereka menemui berdozen-dozen kotak barangan berharga bernilai US$ 15 juta (RM 59,569,500).

Laporan pemeriksaan tersebut yang diterbitkan oleh Jabatan Kastam Amerika Syarikat menyebut sebanyak 23 kotak kayu, 12 buah bag, dan pelbagai lagi jenis kotak yang mampu memuatkan 67 buah rak ditemui. Antara kandungan-kandungannya adalah 413 jenis barang kemas, 24 ketul jongkong emas dan lebih daripada 27 juta Peso (RM 205,103,9) yang baru sahaja dicetak.

Maka selayaknya Imelda dipanggil sebagai 'First Lady From Hell' bersama beberapa orang lagi figura dunia antaranya Marie Antoinette, Maureen Mcdonnel, Asma Al Assad dan Gucci Grace Mugabe.

Ini adalah antara harta-harta yang dimiliki oleh Imelda Marcos bersama suaminya,

1. Kasut

Ketika rakyat Filipina menyerbu masuk ke Istana Malacanang pada tahun 1986, mereka menemui almari yang memuatkan lebih daripada 2,700 pasang kasut yang dtinggalkan sebelum mereka berdua melarikan diri.



Kasut-kasut mewah pelbagai gaya ini mempunyai jenama-jenama mewah dunia sama ada jenama tempatan ataupun jenama luar negara. Antara jenama tersebut adalah Ferragamo, Givenchy, Chanel, Christian Dior, Charles Jourdan dan Bally.

Kasut-kasut tersebut kini dipamerkan di sebuah muzium di Filipina.

2. Barang Perhiasan

Ketika Imelda pulang ke Filipina dari buangan, kerajaan Filipina telah merampas sebahagian hartanya dan antaranya adalah barangan kemas bernilai US$ 21 juta (RM 83,380,500).


Antara barangan kemas tersebut adalah tiara bertatahkan berlian dan sebutir berlian merah jambu 25 karat yang sangat-sangat jarang ditemui bernilai US$ 5 juta (RM 19,852,500).


Pelbagai lagi barangan kemas berjenama Cartier dirampas setelash kerajaan berpendapat Imelda mustahil untuk memilikinya jika hendak dibandingkan dengan gaji suaminya ketika menjawat jawatan Presiden Filipina yang bernilai US$ 13,500 (RM 53,601) setahun.

3. Lukisan

Walaupun sebahagiannya masih tidak lagi ditemui, diktator ini bersama isterinya dikatakan memiliki lebih 200 keping lukisan bernilai tinggi karya-karya kepada pelukis terkenal dunia antaranya Van Gogh, Picasso dan Rembrandt.


Imelda juga pernah mencabar keputusan mahkamah di Amerika Syarikat yang merampas lukisan-lukisan miliknya antaranya lukisan  Claude Monet‘s L’Église et La Seine à Vétheuil dan Alfred Sisley‘s Langland Bay serta beberapa keping lagi lukisan yang tidak dikenal pasti.


Pada tahun 2015, kerajaan Filipina telah melancarkan satu laman sesawang untuk membolehkan orang ramai membantu kerajaan untuk mengesan lukisan-lukisan yang hilang tersebut.

4. Hartanah

Pasangan ini pernah membeli sebuah bangunan pencakar langit setinggi 66 tingkat di Manhattan, Amerika Syarikat yang kemudiannya di rampas dan dilelongkan dalam satu jualan. Nilai bangunan tersebut ketika dibeli oleh seorang pembida pada tahun 1989 adalah US$ 77 juta (RM 305,728,500).


Bagunan lain yang turut dirampas dan dilelongkan oleh kerajaan Amerika Syarikat adalah bangunan kedai 10 tingkat, Herald Center dilelongkan pada harga US$ 25 juta (RM 99,262,500).

5. Wang Dan Kekayaan

Kedua-dua mereka didakwa telah menggelapkan wang kerajaan sebanyak US$ 10 bilion (RM 39,705,000,000) sepanjang pemerintahan mereka selama 20 tahun.

Namun, orang kuat Ferdinand Marcos ketika era pemerintahan, Enrique Zobel mendedahkan Marcos mempunyai nilai kekayaan mencecah US$100 bilion (RM 397,050,000,000) dengan sebahagiannya adalah dalam bentuk jongkong emas yang bernilai US$ 35 bilion (RM 138,967,500,000).


Selain Marcos sendiri, kerajaan Filipina juga percaya rakan-rakan sekutu kepada Marcos dan Imelda turut melarikan wang rakyat Filipina berjumlah tidak kurang daripada US$ 3.4 bilion (RM 13,499,700,000).

Walaupun terlibat dalam skandal yang berbilion ringgit, keluarga Marcos tetap mempunyai kuasa dalam pemerintahan kerajaan Filipina. Malah, Presiden Filipina yang semasa, Rodrigo Duterte merupakan sekutu rapat kepada Marcos. Selain itu, anaknya Ferdinand Jr pernah bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden dan tewas tipis sahaja.

Imelda Marcos sendiri tidak pernah mengakui bahawa dia dan suaminya mencuri wang rakyat Filipina sebaliknya mendakwa kekayaan mereka hasil daripada penemuan harta milik Tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang disembunyikan oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita di kawasan tertentu di Asia Tenggara.

Sumber : The Guardian, The New York Times, ABS News, SCMP, Los Angeles Times

0 comments

Post a Comment