Monday, 21 May 2018

Demi Kemanusian, Penyokong Kelab Bola Sepak Ini Lancar Kempen Kutipan Dana Untuk Palestin Yang Menjadi Mangsa Kekejaman Israel


Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan bola sepak dunia pasti mengetahui bahawa kelab bola sepak yang berpangkalan di Scotland, Celtic adalah sebuah kelab yang sangat pro-Palestin. Penyokong-penyokong mereka sudah berulang kali menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin yang ditindas negara haram Israel.

Pada Ogos 2016, penyokong-penyokong Celtic telah menaikkan bendera Palestin di dalam stadium ketika perlawanan bola sepak berlangsung antara kelab tersebut menentang kelab Israel, Hapoel Beer Sherva.


Hasilnya mereka telah dikenakan tindakan denda oleh badan bola sepak Eropah, UEFA yang mengamalkan polisi pengasingan politik daripada aktiviti bola sepak. Kelab bola sepak tersebut dikenakan denda sebanyak 10,000 Euros (RM 46,722).

Bagi melawan hukuman yang dikenakan UEFA terhadap kelab mereka, penyokong-penyokong kelab itu, Celtic Green Brigade kemudian melancarkan satu kempen dengan tanda pagar #MatchTheFineForPalestine. Hasil usaha mereka, dana berjaya dikumpul melalui kempen tersebut melebihi 172,000 Pound (RM 918,680). Hasil kutipan tersebut kemudian diagihkan kepada beberapa badan amal di bawah Medical Aid for Palestine (MAP).


Tahun ini, sempena pembukaan kedutaan baru Amerika Syarikat di Baitulmaqdis yang menyaksikan sekurang-kurang 60 nyawa rakyat Palestin gugur ditembak tentera Israel, Celtic Green Brigade sekali lagi melancarkan kempen, Celtic Fans - Medical Aid to Gaza untuk membantu dua kumpulan sukarelawan di bawah MAP yang beroperasi bagi membantu rakyat Palestin yang cedera ketika bertembung dengan tentera Israel baru-baru ini.

Melalui laman web Go Fund Me, kempen kutipan dana tersebut juga dilancarkan sempena Hari Nakba (15 Mei) yang dianggap sebagai hari malapetaka kepada umat Palestin. Ia disambut setiap tahun sehari selepas Hari Kemerdekaan Israel.

Kempen Celtic Fans For Palestine ini bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membantu dua badan bukan kerajaan (NGO) Palestine, yang bernaung di bawah MAP. Dua NGO yang turut berfungsi sebagai hospital antara lain membantu menyediakan aksese rawatan kepada penduduk Palestin selain mendidik mereka dengan ilmu-ilmu kesihatan agar dapat berdikari dalam menangani masalah kesihatan setempat.

Selain itu, MAP turut berfungsi untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang menjadi kekejaman rejim Zionis.


Buat anda yang bermurah hati untuk menjadi sebahagian daripada penderma kepada dana yang digerakkan oleh penyokong Celtic ini bolehlah melayari laman web Go Fund Me dan mendaftarkan diri sebagai penderma di sana.

Tindakan dan sokongan yang dibuat oleh penyokong-penyokong Celtic yang jelas sekali berbeza bangsa dan agama menunjukkan bahawa apa yang berlaku di Palestin ketika ini bukan lagi terhad kepada isu agama, tetapi ia isu kemanusiaan yang harus diberi perhatian oleh rakyat dunia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan negara.

Terima Kasih Celtic Green Brigade!

Sumber : Celtic Fans For Palestine

0 comments

Post a Comment