Tuesday, 13 February 2018

Hanya Graduan Kelas Pertama Tajaan JPA Bakal Ditawarkan Jawatan PTD Untuk Pengambilan Julai Dan Ogos - Dr Ali Hamsa


14 Feb - Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menjelaskan bahawa graduan kelas pertama tajaan JPA sahaja yang akan ditawarkan peluang sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam perkhidmatan awam bagi sesi pengambilan Julai dan Ogos, lapor Bernama

Menurut beliau, ia merupakan inisiatif julung kali kerajaan untuk melihat sejauh mana prestasi graduan cemerlang berbeza dengan pegawai-pegawai PTD yang lain dalam memikul tanggungjawab menjayakan agenda kerajaan.

Tambah Dr Ali lagi, pihaknya menggunakan model yang digunakan oleh negara jiran yang mengambil tiga pelajar cemerlang untuk diserapkan ke dalam perkhidmatan awam dan melepaskan yang lain kepada sektor swasta.

"Kita mahu menjalankan eksperimen. Sebelum ini, kita ambil semua graduan kelas pertama, kelas kedua atas dan kelas kedua bawah. Sekarang kita mahu melihat sama ada kumpulan graduan cemerlang ini boleh melaksanakan tugas dengan baik atau tidak," katanya kepada media selepas majlis perjumpaan KSN bersama graduan cemerlang tajaan JPA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan membuat pelawaan untuk graduan-graduan tersebut memohon dan mereka perlu menghadiri peperiksaan serta temu duga sebelum menjalani latihan kursus kadet PTD di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebelum disahkan jawatan itu.

"Tahun ini, kita juga telah membuka peluang kepada bidang-bidang lain seperti perguruan, kejuruteraan serta perkhidmatan awam untuk menyertai pasukan PTD di bawah tiga kemasukan yang melibat 630 orang," katanya.

Terdahulu, Dr Ali mengadakan sesi perkongsian secara dua hala dengan 1,200 graduan cemerlang tajaan JPA dari dalam dan luar negara bagi tahun lepas untuk memberi ruang kepada mereka mengutarakan pandangan dan cadangan serta aspirasi anak muda dalam mencorak hala tuju negara khususnya dalam perkhidmatan awam. - Siakapkeli.my

0 comments

Post a Comment