Friday, 17 November 2017

Jumpa Bangkai Gajah Ditembak Guna Senapang Buatan Sendiri


Gajah jantan ditemui mati dengan tiga kesan tembakan Ladang Cenderamata, terletak antara Jalan Merotai-Kalabakan, semalam.

Gajah itu dipercayai ditembak mengguankan senapang patah yang dibuat sendiri

Menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berdasarkan bedah siasat terhadap haiwan liar terbabit, pihaknya mendapati peluru yang digunakan ialah jenis penabur (slug) dan siasatan juga mendapati ia mati kira-kira 48 jam sebelum bangkainya ditemui.

"Kita tak pasti sama ada senapang patah digunakan berlesen atau tidak, tetapi peluru jenis 'slug'. Siasatan masih diteruskan untuk mencari saksi yang mempunyai maklumat berkaitan suspek," katanya.

Ketinggian gajah itu 2.7 meter dipercayai ditembak pemburu haram ditemui pekerja ladang terbabit pada Selasa lalu, sebelum memaklumkannya kepada Jabatan Hidupan Liar.

Berdasarkan sumber, senapang  jenis bakakuk yang memiliki keupayaan hampir sama dengan senapang patah sebenar, biasanya digunakan pemburu haram untuk tujuan berburu di hutan di negeri ini.

Penggunaan senjata tersebut sejak turun-temurun untuk memburu binatang serta menjaga tanaman turut menggunakan peluru yang sama, iaitu jenis penabur.


Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din meminta orang awam agar tidak menyimpan bakakuk kerana penyimpanan dan pemilikan senjata tidak berlesen itu haram, dengan pemiliknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Tambahnya, pihaknya serius bagi membendung pelbagai kes jenayah atau kematian akibat kecuaian yang berkaitan dengan penggunaan senjata berkenaan dengan meningkatkan usaha membanteras pemilikan secara haram bakakuk, sama ada bagi tujuan memburu atau mempertahankan diri.

Sebelum ini,terdapat pembunuhan gajah Pygmy Borneo yang dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di tempat berasingan di Tawau dan Kinabatangan, September lalu.

Sumber - Berita Harian

0 comments

Post a Comment